Jumaat, 9 Oktober 2009

Pengajaran penarafan THE-QS World University 2009

SEBAGAI satu sistem pengajian tinggi yang kolektif, kedudukan purata lima institusi yang termasuk dalam penarafan THE-QS World University Ranking 2009 - Universiti Malaya (180), Universiti Kebangsaan Malaysia (291), Universiti Sains Malaysia (314), Universiti Putra Malaysia (345) dan Universiti Teknologi Malaysia (320) sebenarnya telah meningkat daripada 294 ke 290.

Berasaskan kepada dapatan 2007, tahun pertama perubahan besar metodologi penarafan dilakukan oleh THE-QS, semua universiti telah menunjukkan kemajuan pada 2009 kecuali sebuah. Naik turun tahun ke tahun dijangka berlaku disebabkan kesan perubahan dinamik respons survei dan ubah suai kecil terhadap metodologi kajian.

Menurut Ben Souter, Ketua Penyelidik QS, tiga faktor menyebabkan ketidaktentuan ketara dalam ranking THE-QS, misalnya kedudukan Universiti Kebangsaan Malaysia yang berubah seperti "yo-yo" memberikan contoh yang paling jelas (307 pada 2007, 250 pada 2008 dan 291 pada 2009).

Institusi-institusi baru yang memasuki senarai tersebut membawa kesan secara langsung terhadap kedudukan institusi sedia ada, bergantung sama ada penyertaan mereka pada kedudukan di atas atau di bawah institusi sedia ada. Responden survei yang pada awalnya diwakili ramai dari Malaysia, juga mulai dicair dengan penambahan responden dari negara-negara yang dahulunya kurang diwakili seperti Jepun.

Selain itu mulai tahun 2008, respons dalam negara diasingkan daripada respons antarabangsa dan hanya membawa pemberat 15 peratus. Kesan kepada perubahan ini terhadap penilaian keserakanan akademik akan memuncak pada 2010 dan institusi yang paling teruk padahnya adalah institusi dari negara-negara yang memiliki sebilangan kecil institusi sahaja tetapi mempunyai jumlah responden yang tinggi (Malaysia adalah satu contoh).

Kita tidak harus melihat ini sebagai suatu ketidakadilan kerana kita ingin mengecap pengiktirafan antarabangsa selain disanjungi rakan akademia di Malaysia. Sungguhpun terdapat perubahan kaedah yang tidak menyebelahi institusi di Malaysia, kita tidak wajar mengetepikan data penarafan THE-QS kerana ia boleh dijadikan asas perbandingan selain membantu kita merencana pelan strategi dan tindakan untuk peningkatan berterusan.

Sebagai contoh, iltizam UKM untuk memanfaat sumber yang ada telah menghasilkan peningkatan nisbah pelajar fakulti, tenaga pengajar antarabangsa dan pelajar antarabangsa.
Tumpuan UKM kepada pengukuhan penyelidikan dan menggalakkan penerbitan telah meningkatkan jumlah penerbitan dalam jurnal terindeks oleh Scopus, serta jumlah sebutan pada 2008, berbanding jumlah terkumpul empat tahun sebelumnya, sungguhpun jumlah besar belum mencapai keberkesanan global.

Sebagai sebuah universiti penyelidikan, inilah ruang bagi UKM memberikan tumpuan terbesar.
Strategi transformasi dan tindakan yang dirancang dan dilaksanakan, telah direka bentuk untuk memenuhi sasaran yang akan meletakkan UKM sederap universiti penyelidikan lain menjelang 2020. Penyelidikan memacu pendidikan dan perkhidmatan, dan hasilnya tidak seharusnya memberi dampak kepada penarafan dan reputasi akademik sahaja, malah lebih penting lagi menyumbang kepada pembinaaan ekonomi dan masyarakat yang mapan.

Ben Souter merumuskan, dengan KDNK 6.3 peratus, kerajaan telah melakukan pelaburan yang baik dalam pendidikan. Peruntukan kepada pengajian tinggi harus diagih secara berkesan dengan pemberat kepada pengukuhan universiti penyelidikan dan kemajuan negara jangka masa sederhana. Gaya tadbir urus dan kesinambungan kepemimpinan strategik di peringkat institusi adalah kritikal sebagai asas untuk bersaing pada tahun-tahun mendatang.

Sharifah Hapsah Shahabudin
Naib Canselor
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan