Jumaat, 1 Jun 2012

UKM tempat 31 universiti terbaik dunia!



TUANKU Muhriz Tuanku Munawir (lima, kanan) melihat demonstrasi CPR oleh pelajar Jabatan Perubatan Kecemasan sempena Sambutan 40 Tahun Fakulti Perubatan UKM di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. Turut berangkat Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud (tiga, kanan) diiringi Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (kanan).

KUALA LUMPUR 30 Mei - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menduduki tangga ke-31 carta universiti terbaik dunia mengikut Quacquarelli Symonds (QS) QS-World University Ranking 2012/2013.

Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata, pengiktirafan QS iaitu syarikat penarafan berpangkalan di London itu adalah bagi kategori universiti berusia bawah 50 tahun.

"Pengiktirafan itu menjadikan UKM satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam kelompok universiti terbaik daripada beribu-ribu universiti di dunia.

"Sebagai universiti yang masih muda, UKM membuktikan kecemerlangan dalam saingan dengan universiti dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan banyak lagi," katanya kepada pemberita selepas perasmian Sambutan 40 Tahun Fakulti Perubatan UKM, di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaku Canselor UKM. Turut mengiringi baginda ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Sharifah Hapsah berkata, penilaian QS itu dibuat berdasarkan pencapaian dan kriteria seperti penyelidikan, penerbitan, populasi tenaga pengajar dan pelajar.

"UKM sudah mencapai pelbagai kemajuan termasuk menjadi universiti yang melahirkan pakar perubatan paling ramai di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan terus membantu usaha meningkatkan kewibawaan UKM sebagai universiti disegani.

"Hasrat kita selepas ini adalah untuk berada di dalam senarai 10 universiti terbaik," katanya.

Sejak penubuhannya, Fakulti Perubatan UKM telah melahirkan 5,144 doktor perubatan, 2,814 doktor pakar dalam pelbagai bidang serta 94 doktor falsafah.- BERNAMA

Putra Design..