Ahad, 2 Mei 2010

Dunia intelektual Profesor Diraja Ungku Aziz.

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid atau Pak Ungku, 88, merupakan tokoh yang sangat sinonim dengan Universiti Malaya (UM) ketika menerajui universiti tertua itu suatu ketika dahulu.

Lantaran itu, beliau terus diingati masyarakat sebagai negarawan intelek yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, khususnya orang Melayu.

Baru-baru ini, UM menerbitkan sebuah buku yang dedikasikan kepada Ungku Aziz sebagai mengenang jasanya yang begitu banyak terutama kepada UM semasa menjadi Naib Canselor selama 20 tahun dari 1968 hingga 1988.

Semasa melancarkan buku ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pak Ungku sebagai seorang intelektual dan negarawan istimewa kerana telah banyak menabur jasa kepada negara melalui idea dan cadangan yang praktikal dalam pelbagai perkara.

Malah beliau melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bersedia menyokong sebarang usaha UM untuk menerbitkan karya baru mengenai Pak Ungku pada masa hadapan.

Menurut pengarang tajuk The Renaissance Man dipilih kerana sangat bersesuaian dengan Pak Ungku atas pembaharuan yang dibawa sehingga berjaya menempa nama dan kedudukan yang tersendiri dalam dunia intelektual di negara ini dan antarabangsa.

Meminjam kata-kata Profesor Datuk Shamsul Amri Baharudin semasa sesi bicara karya, "buku ini adalah satu-satunya yang menyingkap Pak Ungku dari sudut pandang 'orang dalam' daripada sebuah institusi yang menjadikan beliau seorang institusi."

Buku biografi ini ditulis oleh sekumpulan tokoh akademik dan pentadbiran yang pernah berkhidmat semasa pentadbiran Pak Ungku untuk berkongsi pengalaman unik dan perspektif masing- masing mengenai tokoh besar itu.

Mereka ialah mantan Naib Canselor, Datuk Profesor Dr. Hashim Yaacob, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, Profesor Emeritus K.T. Joseph, Profesor Dr. Azizah Hamzah, Abdul Manaf Saad, Khoo Siew Mun, Datin Paduka Jamilah Ariffin, Profesor Emeritus Ishak Haron, Profesor Datuk Dr. Mohd Mansor Salleh, Mohd. Said Mohd Kadis dan Dr. Mokhtar Tamim.

Bab pertama tulisan Abu Bakar Hamid dan K.T. Joseph menyingkap sejarah hidup Pak Ungku, sebagai Naib Canselor serta sumbangan beliau khususnya, kepada UM serta pendidikan tinggi tempatan dan antarabangsa.

Azizah Hamzah memberi fokus kepada Ungku Aziz dari perspektif beliau yang banyak berbicara dan menemu bual dengan tokoh tersohor itu. Pengalaman berharga itu dikongsi melalui tulisannya dalam bab dua.

Ungku Aziz memiliki daya pemikiran yang cukup tajam hasil pembacaan yang sangat luas bagi mencari jalan penyelesaian masalah masyarakat negara ini.

Beliau membaca buku dan melihat idea daripada beberapa tokoh unggul yang dikaguminya dalam dan luar negara termasuk Einstein, Sigmund Freud, Pablo Picasso, Iqbal, Rumi serta Za'ba.

Hashim Yaacob yang menulis dalam bab tiga menganggap Pak Ungku sebagai seorang intelektual rakyat kerana keupayaannya memberi maklum balas dalam pelbagai isu berkaitan masyarakat termasuk pendidikan, pengangguran dan kemiskinan.

Selain itu, beliau merupakan personaliti media yang begitu mendapat tempat dalam media massa arus perdana pada zamannya kerana media percaya masyarakat ketika itu sangat menyanjungi Pak Ungku.

Dalam bab berikut Abdul Manaf Saad menceritakan peranan Ungku Aziz dalam memartabatkan Penerbit UM dengan memberi pelbagai suntikan idea dalam menjaga standard penerbitan ilmiah di universiti itu dan menjadikannya terus kukuh sehingga kini.

Khoo Siew Mun dalam bab lima menonjolkan peranan Pak Ungku dalam perkembangan perpustakaan UM serta menyediakan rujukan yang sangat berguna berkaitan dengan bidang penyelidikan tokoh itu.

Dalam bab enam, Jamilah Ariffin menulis mengenai penglibatan wanita dalam industri perkilangan elektronik dan lain-lain. Beliau yang mengetuai Projek Hal Ehwal Wanita (HAWA) pada 1985-1987 itu sebenarnya diilhamkan oleh Pak Ungku.

Projek itu mengkaji masalah wanita Melayu luar bandar yang berhijrah ke kawasan- kawasan bandar yang menempatkan kilang- kilang untuk bekerja.

Menurut Jamilah, Pak Ungku percaya bahawa sesuatu pekerjaan itu wajar diberi kepada individu yang terbaik tanpa mengira jantina serta membenci sikap berat sebelah terhadap wanita.

Dalam bab "Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang kukenal," Ishak Haron melihat tokoh itu meniup dan membentuk semangat akademik, iaitu meneroka ilmu dalam pelbagai bidang, bertanya dan berbincang, selain mengajar dan melatih pelajar UM supaya pandai dalam bidang mereka.

Pak Ungku juga kata Ishak, seorang yang amat gemar memahami idea dan teori baru dan kaedah baru dalam bidang apa sekali pun, melalui pembacaan pelbagai karya agung dan penulisan penting, perbincangan dengan orang yang pakar dalam sesuatu bidang, selain pemerhatiannya sendiri yang tajam.

Dalam bab lapan, Mohd. Mansor Salleh yang berkhidmat selama 14 dengan Pak Ungku dapat melihat keazaman dan usaha gigih tokoh itu untuk mencapai sesuatu untuk anak-anak Melayu desa dan pedalaman dan untuk bahasa Melayu.

Matlamat Pak Ungku amat jelas iaitu menambah bilangan anak-anak Melayu miskin di fakulti-fakulti aliran sains dan teknologi di UM khasnya dan negara amnya.

Mohd Said Mohd Kadis pula menulis mengenai peranan Pak Ungku dalam penubuhan Pusat Asasi Sains UM dan Program Persediaan Khas Jepun yang berjaya melahirkan puluhan ribu siswazah Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

Selain pendidikan, pengarang turut membongkar peranan penting Ungku Aziz dalam proses tranformasi ekonomi negara dari sektor pertanian ke sektor perkhidmatan dan perkilangan khususnya bagi membasmi kemiskinan penduduk luar bandar. Hal ini diceritakan dengan panjang lebar oleh Dr. Mokhtar Tamim dalam bab 10.

Buku ini wajar dimiliki sebagai bahan bacaan dan rujukan penting oleh mereka yang meminati idea dan pemikiran Ungku Aziz, seorang tokoh tersohor negara ini yang sentiasa dikenali, diingati dan disanjungi masyarakat sepanjang zaman.

Putra-Design

Tiada ulasan:

Catat Ulasan