Rabu, 15 April 2009

PROTON EXORA DILANCAR

NAJIB Tun Razak, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh dan Datuk Syed Zainal Abidin Mohamed Tahir (kanan) menunjukkan isyarat bagus pada majlis pelancaran MPV Proton Exora di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, malam tadi. – UTUSAN/Ahmad Zakki Jilan

SETELAH beberapa bulan menunggu penampilannya, Proton Exora, kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Proton dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu negara, malam tadi.

Proton Exora yang menggunakan enjin 1.6 Campro CPS dengan 125 kuasa kuda, dijual pada harga RM69,998 hingga RM75,998 sebuah. Tidak hairanlah dengan harga semurah itu, 2,500 unit telah ditempah orang ramai.

Peminat kenderaan untuk seisi keluarga itu mempunyai pilihan membeli unit transmisi automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan.

MPV itu ditawarkan dalam enam warna pilihan dan dua varian iaitu Exora Hi-Line 1.6 Automatik Metallic (RM75,998) dan Exora M-Line 1.6 Automatik Metallic (RM69,998).

Tempoh 18 bulan bangunkan Exora

KUALA LUMPUR 15 April – Kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama Proton, Exora dibangunkan hanya dalam tempoh 18 bulan, lebih cepat daripada standard antarabangsa untuk membangunkan kenderaan yang selalunya mengambil masa 24 bulan.

Pengerusi Proton Holding Berhad, Datuk Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh memberitahu, Exora juga dibangunkan dalam tempoh lebih pendek berbanding semasa syarikat ini mula-mula membangunkan kereta sendiri iaitu Proton Waja yang mengambil tempoh 36 bulan.

“Ini kejayaan Proton kerana bukan saja mampu membangunkan produk dalam tempoh 18 bulan malah jumlah jurutera yang terlibat hanya 250 orang berbanding ketika membangunkan Proton Waja yang melibatkan 1,000 jurutera di samping bantuan pembekal kejuruteraan daripada syarikat kereta di Eropah dan Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Proton Exora yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Mohd. Nadzmi memberitahu, Exora bukan hanya model terbaru Proton tetapi titik permulaan kepada kemajuan teknologi automotif tempatan dan ia merupakan MPV pertama buatan Malaysia.

Tegasnya, Exora dibangunkan 100 peratus oleh anak Malaysia daripada penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk dan sehingga ke peringkat pemasangan.

UM - Putra Design

Tiada ulasan:

Catat Ulasan