Khamis, 3 Mei 2012

Preve bukti kematangan Proton!


Adakah kehadiran model sedan terbaru keluaran Proton Holdings Berhad (Proton) ini bakal mengubah mentaliti rakyat terhadap kereta keluaran tempatan?

Jangan cepat mengkritik, sebagai rakyat tempatan kita perlu memberi peluang dan ruang kepada syarikat automotif tempatan untuk memperbaiki setiap kelemahan dan lebih berdaya saing.

Kelahiran model baru Prevé menjadi perubah Proton untuk lebih global. Menjadi kebanggaan Proton, sedan segmen C itu disifatkan sebagai model global Proton untuk meneroka pasaran luar negara.

Walaupun pemilihan nama Prevé langsung tidak melambangkan ciri tempatan, namun Proton punya sebab sendiri memilih nama Prevé berbanding Tuah.

Berasal dari perkataan Bahasa Inggeris dengan sebutan ‘preef’ bermaksud ‘untuk membuktikan’. Bagaimanapun ungkapan ‘preef’ tidak begitu menginspirasikan pembeli.

Justeru perkataan Sepanyol dengan ejaan é di bahagian belakang dan disebut sebagai pray vay lebih komersial. Oleh kerana sebab-sebab estetik dan akustik ia diguna pakai sebagai gelaran rasmi, walaupun Proton masih menekankan ia berasal dari perkataan Inggeris.

Dari segi luaran, ada yang menyatakan Prevé seakan Kia Forte mahupun Honda City (dari arah hadapan). Bagaimanapun bagi penulis Prevé tampil dengan bentuk tersendiri. Tetapi sedikit canggung melihat rekaan lampu bahagian belakang.

Sayang saiz lampu belakang yang tidak sama membuatkan ia kelihatan tidak selari. Namun kekurangan itu diatasi dengan wajah hadapan Prevé yang lebih menonjol menerusi rekaan gril dan lampu utama LEDnya. Tetapi cahaya lampu LED siang hari Prevé kurang menyerlah. Lebih sporty, garisan di bahagian tepi pintu dari hadapan ke belakang memberi imej teguh buat Prevé.

Dikenali dengan kod nama P3-21A sebelum ini, bahagian dalam memberikan ruang yang luas dan selesa. Dari segi keluasan, Prevé lebih besar berbanding Waja dan Persona. Penulis berpeluang memandu varian Premium 1.6 liter (L) CFE turbocaj dipadankan transmisi ProTronic CVT (Continuously Variable Transmission) tujuh kelajuan dan 1.6L Campro IAFM+ dengan kotak gear manual lima kelajuan.

Memandu kereta pertama 1.6L CFE dari Cherating, Pahang menuju ke Centre of Excellence Proton, Shah Alam, dari segi pecutan Prevé cukup responsif. Ia memberikan lebih kuasa dan lebih bertindak balas ketika pedal minyak ditekan. Enjin tersebut memberikan bacaan output yang mengagumkan dengan kuasa kuda 103kW pada 5,000rpm dan kilas 205Nm pada 2,000 hingga 4,000rpm.

Bagi penulis, anda pasti akan berpuas hati sekiranya memandu varian tertinggi itu. Sebaik memasuki lebuh raya, penulis terus memecut, dengan bantuan gear ProTronic dan pedal shifter untuk mencapai kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) tidaklah sukar. Anda akan merasai keseronokan memecut di mana stereng memberi tindak balas pantas dan tidak bergegar. Cuma satu kekurangan unit dipandu uji adalah tekanan tayar di sebelah kiri hadapan sedikit berat.

Berkata tentang bunyi bising, ini adalah salah satu bahagian di mana Proton telah mencapai kemajuan besar dengan Prevé. Varian CFE enjinnya sungguh senyap pada kelajuan tinggi. Namun satu perkara di sini perlu dilakukan oleh Proton adalah mengatasi bunyi angin luar yang begitu jelas boleh didengar dari dalam.

Prevé dibina berasaskan kepada kerangka Exora dengan beza menggunakan suspensi roda belakang jenis multi-link yang pastinya lebih sesuai untuk sebuah sedan. Tetapi sistem suspensinya terasa sedikit bumpy sekiranya duduk di belakang.
Prevé meneruskan janji Proton dalam menawarkan kereta yang memberi pengendalian dan pemanduan terbaik daripada mereka. Dengan gabungan teknologi ‘Proton Ride & Handling’, kepuasan pemanduan pastinya sukar diucapkan bagi yang tahu menghargainya. Prevé menjanjikan pemanduan dan kawalan yang terbaik.

Seterusnya adalah versi manual. Walaupun memandu uji versi manual dalam tempoh yang singkat, apa yang penulis dapat katakan di sini ia kurang ‘umph’. Kuasa yang diberikan kurang mencukupi tambahan ia tidak dilengkapi dengan pengecas turbo.

Tiada apa anda jangkakan daripada versi manual. Pada permulaan pecutan, Prevé kurang berkuasa tetapi apabila mula meluncur, barulah kuasa disuntik ke dalam Prevé.

Kabin

Dari segi sentuhan dalaman, kualiti binaan yang ditampilkan sedikit murah tetapi teknologi yang ditawarkan oleh Prevé adalah setaraf dengan global.

Melihat kepada varian tertinggi, bahagian kabin mengaplikasikan tona hitam dengan kemasan kayu dan calitan perak. Sayangnya kemasan kayu di bahagian pembuka pintu hanya tersedia untuk pintu hadapan dan bukan di pintu belakang. Sedikit sebanyak kekurangan berkenaan membuatkan kemasan dalaman seakan tidak siap.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa tanda harga yang ditawarkan adalah di bawah RM75,000, anda sepatutnya tidak perlu mengimpikan kualiti setaraf produk Jerman. Prevé adalah satu perubahan besar bagi Proton, dan pakej yang ditawarkan berdaya saing.

Paparan meter combi yang ringkas dan elegan dengan warna merah dan putih turut menampilkan ciri-ciri penting dan memudahkan pemandu. Ia dinamakan paparan info pintar (SID) yang antaranya memaparkan tempoh perjalanan, meter perbatuan dan jarak untuk mengisi minyak. Anda juga boleh menukar warna iluminasi pada skrin sesentuh, meter dan pendingin hawa.

Tempat duduk walaupun tidak ditawarkan dengan balutan kulit, ia menggunakan fabrik jenis kalis air, mungkin versi akan datang bakal tampil dengan balutan kulit mewah. Bagi varian terendah, bahagian dalaman dengan kemasan warna coklat dan tona hitam cukup ringkas.

Prevé turut menawarkan ruang but belakang paling luas dalam kelasnya sehingga 508 liter, cukup untuk anda memuatkan pelbagai barang keperluan harian dan aktiviti.

Selain itu, ciri-ciri premium yang ditawarkan sambungan internet YES 4G, tingkap dengan fungsi anti-trap pada bahagian pemandu, lampu kabus depan dan belakang, lampu projektor dengan LED posisi, fungsi lampu follow me home, dan rekaan lampu belakang LED.

Bagi varian Premium pula didatangkan dengan Front Active Headrest, butang push/start, kawalan kruise, lampu depan auto, cermin sisi lipat automatik, spoiler belakang, auto wiper, auto climate air conditioner, penukar pedal di belakang stereng, sistem audio (CD MP3/Bluetooth, USB dan iPod) yang berintergrasi dengan sistem navigasi GPS dan didatangkan dengan skrin sesentuh.

Spesifikasi yang disenaraikan di atas cukup premium bagi sebuah kenderaan tempatan yang dijual pada harga murah. Jika difikirkan semula ciri-ciri sedemikian didatangkan pada kenderaan pemasangan luar negara (CKD) pada harga RM100,000 ke atas.

Sebagai info, Prevé telah menerima pengiktirafan 5-Bintang dari MyVAP dan NCAP Australia.

Prevé ditawarkan dalam enam warna menarik dengan tanda harga varian Premium RM72,990 dan varian terendah RM59,990.

Adakah ia bakal mengubah persepsi rakyat, bagi penulis ya. Prevé membuktikan ia menawarkan kelainan kepada pengguna. Dengan reka bentuk menawan ditambah dengan spesifikasi tinggi serta tanda harga yang jauh lebih rendah ia pasti akan menambat golongan belia khususnya dan perlu diingatkan ia adalah hasil kreativiti anak tempatan sepenuhnya!

Putra Design..