Isnin, 5 Julai 2010

Malaysia diterima masuk Washington Accord

MELAKA 5 Julai - Pendidikan kejuruteraan di Malaysia mencapai penanda aras antarabangsa berikutan kejayaan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) mendapat status penandatangan penuh Washington Accord bagi sistem pendidikan tersebut di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, berikutan kejayaan itu, graduan program ijazah kejuruteraan daripada universiti tempatan kini boleh menjalankan amalan kejuruteraan di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, mereka juga diiktiraf oleh negara lain yang mendapat penandatangan penuh Washington Accord seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Australia, Jepun dan Kanada.

Beliau berkata, graduan kejuruteraan dari negara-negara yang mendapat pengiktirafan itu diperakukan melepasi piawaian akademik yang ditetapkan dalam amalan profesion kejuruteraan di peringkat antarabangsa.

"Dengan pencapaian ini, bidang kejuruteraan di universiti-universiti di negara ini yang diakreditasi oleh LJM dan graduan kejuruteraan kita kini diiktiraf sepenuhnya di negara-negara maju.

"Kita memang di landasan yang betul iaitu pengajian bidang kejuruteraan kebangsaan dijadikan penanda aras setelah Malaysia diterima sebagai salah sebuah negara yang mendapat status pengiktirafan antarabangsa iaitu Washington Accord," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Minggu Haluan Siswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bagi Sesi 2010/2011 di Dewan Besar UTeM di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Mohd. Amin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Datuk Dr. Mohd. Nor Husain.

Seramai 2,089 penuntut baru iaitu 365 mengikuti kursus diploma dan 1,724 pula mengikuti kursus ijazah di universiti berkenaan.

Shaziman yang juga Menteri Mentor UTeM berkata, pengiktirafan itu diterima Malaysia selepas menandatangani perjanjian penuh Washington Accord pada mesyuarat International Engineering Alliance (IEA) di Kyoto, Jepun tahun lalu.

Washington Accord adalah satu perjanjian eksklusif antara badan pengiktirafan pendidikan di peringkat antarabangsa yang turut disertai oleh UK, AS, Australia, Ireland, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan.

Penglibatan Malaysia dalam Washington Accord bermula setelah Malaysia diterima masuk sebagai penandatangan sementara di Rotorua, New Zealand pada 2003.

Mengulas lanjut, Shaziman menambah, pengiktirafan itu diharap dapat meningkatkan tahap program ijazah kejuruteraan Malaysia dan reputasi negara sebagai pusat pendidikan serantau.

"Bagi pelajar-pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di universiti tempatan, ijazah kejuruteraan yang mereka perolehi kini dijamin di peringkat antarabangsa," katanya.

Sehubungan itu, jelas beliau, universiti di negara ini kini boleh menggunakan penanda aras itu sebagai alat pemasaran yang berkesan untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa.

Menurut beliau, graduan-graduan yang lahir daripada program Majlis Akreditasi Kejuruteraan (EAC) boleh mendaftar dengan LJM untuk menjalankan amalan kejuruteraan.

"Setakat ini terdapat 190 program kejuruteraan di 26 institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang telah menerima pengiktirafan daripada EAC," katanya.

Menurutnya, semua program kejuruteraan yang dilaksanakan selepas Jun 2009 akan disenaraikan sebagai program ijazah kejuruteraan yang diiktiraf oleh Washington Accord.

Beliau menambah, setakat ini terdapat 85 program ijazah kejuruteraan di 17 IPT seluruh negara. - UM

http://www.accreditation.org/accords.php?page=WashingtonAccord

Putra Design..

Sabtu, 8 Mei 2010

Kisah bahasa Melayu di Jepun!

GAMBAR kulit buku Maiai -go yon shu-kan.


SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih dari 200 buah.

Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.

Essei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.
Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun.
Antara mereka ialah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur. Sebilangan dari mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan. Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."

Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajar bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.
Moriyama menambah: "Oleh kerana tiada guru Jepun boleh mengajar bahasa Melayu di sekolah maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu.
Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."

Lantas disebut nama salah seorang dari mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurnia bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris ialah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Ampat Minggu) yang terbit pada tahun 1937.
Ia kemudian diulang cetak hingga 30 kali. Turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo. Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.

Diperturunkan

Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula. Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 mengandungi cerita-cerita dari Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Pada satu peringkat lain diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia." Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.

Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat menyurat kedua menggunakan tulisan Jawi.
Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru. Baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian dari Baginda pada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.

Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajar di sekolah-sekolah yang dulu mengajar bahasa Inggeris.
Putra Design..

Ahad, 2 Mei 2010

Dunia intelektual Profesor Diraja Ungku Aziz.

Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid atau Pak Ungku, 88, merupakan tokoh yang sangat sinonim dengan Universiti Malaya (UM) ketika menerajui universiti tertua itu suatu ketika dahulu.

Lantaran itu, beliau terus diingati masyarakat sebagai negarawan intelek yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara, khususnya orang Melayu.

Baru-baru ini, UM menerbitkan sebuah buku yang dedikasikan kepada Ungku Aziz sebagai mengenang jasanya yang begitu banyak terutama kepada UM semasa menjadi Naib Canselor selama 20 tahun dari 1968 hingga 1988.

Semasa melancarkan buku ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pak Ungku sebagai seorang intelektual dan negarawan istimewa kerana telah banyak menabur jasa kepada negara melalui idea dan cadangan yang praktikal dalam pelbagai perkara.

Malah beliau melalui Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bersedia menyokong sebarang usaha UM untuk menerbitkan karya baru mengenai Pak Ungku pada masa hadapan.

Menurut pengarang tajuk The Renaissance Man dipilih kerana sangat bersesuaian dengan Pak Ungku atas pembaharuan yang dibawa sehingga berjaya menempa nama dan kedudukan yang tersendiri dalam dunia intelektual di negara ini dan antarabangsa.

Meminjam kata-kata Profesor Datuk Shamsul Amri Baharudin semasa sesi bicara karya, "buku ini adalah satu-satunya yang menyingkap Pak Ungku dari sudut pandang 'orang dalam' daripada sebuah institusi yang menjadikan beliau seorang institusi."

Buku biografi ini ditulis oleh sekumpulan tokoh akademik dan pentadbiran yang pernah berkhidmat semasa pentadbiran Pak Ungku untuk berkongsi pengalaman unik dan perspektif masing- masing mengenai tokoh besar itu.

Mereka ialah mantan Naib Canselor, Datuk Profesor Dr. Hashim Yaacob, Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, Profesor Emeritus K.T. Joseph, Profesor Dr. Azizah Hamzah, Abdul Manaf Saad, Khoo Siew Mun, Datin Paduka Jamilah Ariffin, Profesor Emeritus Ishak Haron, Profesor Datuk Dr. Mohd Mansor Salleh, Mohd. Said Mohd Kadis dan Dr. Mokhtar Tamim.

Bab pertama tulisan Abu Bakar Hamid dan K.T. Joseph menyingkap sejarah hidup Pak Ungku, sebagai Naib Canselor serta sumbangan beliau khususnya, kepada UM serta pendidikan tinggi tempatan dan antarabangsa.

Azizah Hamzah memberi fokus kepada Ungku Aziz dari perspektif beliau yang banyak berbicara dan menemu bual dengan tokoh tersohor itu. Pengalaman berharga itu dikongsi melalui tulisannya dalam bab dua.

Ungku Aziz memiliki daya pemikiran yang cukup tajam hasil pembacaan yang sangat luas bagi mencari jalan penyelesaian masalah masyarakat negara ini.

Beliau membaca buku dan melihat idea daripada beberapa tokoh unggul yang dikaguminya dalam dan luar negara termasuk Einstein, Sigmund Freud, Pablo Picasso, Iqbal, Rumi serta Za'ba.

Hashim Yaacob yang menulis dalam bab tiga menganggap Pak Ungku sebagai seorang intelektual rakyat kerana keupayaannya memberi maklum balas dalam pelbagai isu berkaitan masyarakat termasuk pendidikan, pengangguran dan kemiskinan.

Selain itu, beliau merupakan personaliti media yang begitu mendapat tempat dalam media massa arus perdana pada zamannya kerana media percaya masyarakat ketika itu sangat menyanjungi Pak Ungku.

Dalam bab berikut Abdul Manaf Saad menceritakan peranan Ungku Aziz dalam memartabatkan Penerbit UM dengan memberi pelbagai suntikan idea dalam menjaga standard penerbitan ilmiah di universiti itu dan menjadikannya terus kukuh sehingga kini.

Khoo Siew Mun dalam bab lima menonjolkan peranan Pak Ungku dalam perkembangan perpustakaan UM serta menyediakan rujukan yang sangat berguna berkaitan dengan bidang penyelidikan tokoh itu.

Dalam bab enam, Jamilah Ariffin menulis mengenai penglibatan wanita dalam industri perkilangan elektronik dan lain-lain. Beliau yang mengetuai Projek Hal Ehwal Wanita (HAWA) pada 1985-1987 itu sebenarnya diilhamkan oleh Pak Ungku.

Projek itu mengkaji masalah wanita Melayu luar bandar yang berhijrah ke kawasan- kawasan bandar yang menempatkan kilang- kilang untuk bekerja.

Menurut Jamilah, Pak Ungku percaya bahawa sesuatu pekerjaan itu wajar diberi kepada individu yang terbaik tanpa mengira jantina serta membenci sikap berat sebelah terhadap wanita.

Dalam bab "Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz yang kukenal," Ishak Haron melihat tokoh itu meniup dan membentuk semangat akademik, iaitu meneroka ilmu dalam pelbagai bidang, bertanya dan berbincang, selain mengajar dan melatih pelajar UM supaya pandai dalam bidang mereka.

Pak Ungku juga kata Ishak, seorang yang amat gemar memahami idea dan teori baru dan kaedah baru dalam bidang apa sekali pun, melalui pembacaan pelbagai karya agung dan penulisan penting, perbincangan dengan orang yang pakar dalam sesuatu bidang, selain pemerhatiannya sendiri yang tajam.

Dalam bab lapan, Mohd. Mansor Salleh yang berkhidmat selama 14 dengan Pak Ungku dapat melihat keazaman dan usaha gigih tokoh itu untuk mencapai sesuatu untuk anak-anak Melayu desa dan pedalaman dan untuk bahasa Melayu.

Matlamat Pak Ungku amat jelas iaitu menambah bilangan anak-anak Melayu miskin di fakulti-fakulti aliran sains dan teknologi di UM khasnya dan negara amnya.

Mohd Said Mohd Kadis pula menulis mengenai peranan Pak Ungku dalam penubuhan Pusat Asasi Sains UM dan Program Persediaan Khas Jepun yang berjaya melahirkan puluhan ribu siswazah Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

Selain pendidikan, pengarang turut membongkar peranan penting Ungku Aziz dalam proses tranformasi ekonomi negara dari sektor pertanian ke sektor perkhidmatan dan perkilangan khususnya bagi membasmi kemiskinan penduduk luar bandar. Hal ini diceritakan dengan panjang lebar oleh Dr. Mokhtar Tamim dalam bab 10.

Buku ini wajar dimiliki sebagai bahan bacaan dan rujukan penting oleh mereka yang meminati idea dan pemikiran Ungku Aziz, seorang tokoh tersohor negara ini yang sentiasa dikenali, diingati dan disanjungi masyarakat sepanjang zaman.

Putra-Design

Ahad, 21 Februari 2010

Laman jaringan sosial mampu jadi pemangkin perubahan!

Kerajaan, pemimpin dan ahli politik perlu manfaat alam siber untuk kekal relevan

KEPADA mereka yang kurang tahu, laman Facebook adalah contoh fenomena jalinan media sosial yang terhasil daripada teknologi internet. Seseorang mendaftar menjadi ahli Facebook, dengan mengisi butir diri, betul atau tidak, tiada siapa yang akan periksa dan meletakkan gambar ataupun video. Ahli Facebook mengemaskini laman mereka dengan butiran terkini mengenai diri mereka serta menyatakan pendapat mereka dan segala yang mereka suka atau tidak.

Setiap ahli Facebook boleh meminta untuk menjadi 'kawan' ahli facebook yang lain. Lebih banyak kawan, mungkin lebih popular agaknya seseorang ahli Facebook. Baru-baru ini ada dilaporkan Perdana Menteri mempunyai lebih 100,000 'kawan' di laman Facebook beliau.

Berdasarkan statistik terbaru, ada lebih 350 juta ahli Facebook di dunia - kalaulah Facebook sebuah negara, maka ia adalah negara keempat terbesar di dunia. Lebih menarik lagi, di Malaysia terdapat 4.2 juta ahli Facebook, iaitu kesembilan paling ramai di dunia, di mana nombor satu ialah Amerika Syarikat.

Apa yang penting yang perlu diambil tahu ialah pengaruh yang luas oleh Facebook dan laman media sosial lain. Juga perlu diingat bukan semua yang di internet itu tidak baik. Cuma apabila kita tidak memahaminya, maka kita akan bimbang dan ragu. Satu lagi yang perlu diingati, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang atau mengawal internet. Sebarang cubaan akan membawa kesan lebih negatif daripada baik.

Kini terdapat beratus-ratus laman umpama Facebook, antara yang terkenal Friendster dan Myspace. Satu lagi statistik yang menarik - menurut beberapa laporan, hampir dua pertiga rakyat Malaysia adalah ahli salah satu daripada ratusan jalinan sosial media. Jelas, ini bukan fenomena kecil atau boleh diremeh-temehkan. Malah tahun ini dikatakan sebagai tahun media sosial di mana akan ada ledakan fenomena ini.

Di Malaysia saja pertumbuhan keahlian Facebook, umpamanya, bertambah 10 peratus atau lebih 300,000 pada Disember lalu. Baru-baru ini juga Timbalan Perdana Menteri juga melancarkan laman Facebooknya. Apakah maksud semua ini? Apakah penting dan relevannya kesemua ini untuk hidup kita? Ada orang kata aktiviti media sosial kurang bernas.

Sememangnya ia boleh merugikan, seperti juga perkara lain, jika dilakukan berlebihan. Sudah tentulah kita boleh terlebih makan atau bersuka atau mengemaskini laman Facebook kita, maka ia memanglah memudaratkan, tetapi itu tidak menjadi sebab kita tidak boleh bersuka-ria. Ahli seramai lebih empat juta, umpamanya adalah lebih daripada mana-mana parti politik di negara ini.

Walaupun jika separuh daripada mereka tidak aktif, jumlah yang berada di alam siber itu adalah cukup banyak dan memberikan banyak peluang dan kemungkinan. Rasanya ledakan yang dikatakan itu ialah di mana fenomena ini berjaya menguasai bidang sosial, ekonomi dan politik. Siapa sangka mainan pelajar sedekad lalu kini menjadi pemangkin perubahan.

Dikatakan kempen politik Presiden Amerika Syarikat yang lalu dimenangi oleh calon yang faham dengan kuasa dan pengaruh jalinan media sosial, dan seterusnya menggunakannya untuk membantu di dalam kempen. Presiden Barack Obama menggunakan teknologi ini dengan sepenuhnya dan berjaya menyampaikan mesejnya kepada golongan muda yang tidak lagi cenderung dengan media arus perdana.

Beliau juga berjaya memahami teknologi ini untuk menentukan segala mesej dan matlamat kempennya tidak lagi ditentukan dan ditapis oleh pemberita dan pengarang, malah adakalanya beliau terus langsung tidak menggunakan media arus perdana untuk sesetengah strategi kempen. Jelas dia berjaya, manakala lawannya yang tidak menerima media sosial secara menyeluruh, tidak.

Kekuatan utama laman seperti Facebook ialah pengaruh kawan-kawan. Contohnya, jika kawan kita berkata dia suka sesuatu filem, kita mungkin lebih percaya untuk membeli tiket, berbanding kata-kata iklan ataupun pengkritik. Kita lebih percaya jika kawan kita kata ada gerai yang menjual nasi lemak sedap yang perlu kita kunjungi, berbanding jika orang tidak dikenali berkata demikian.

Maka jika seorang rakan alam maya kita berkata dia percayakan Obama, jelas kata-kata ini akan menyerap ke jutaan, malah mungkin puluhan juta rakan yang terangkai dalam jalinan yang luas meliputi dunia. Sedikit sebanyak ada yang akan terpengaruh. Jika seseorang itu berkata ia menyokong sesuatu parti atau seseorang calon, besar kemungkinan dia akan dapat mempengaruhi kawannya lebih lagi daripada berjela-jela laporan media arus perdana. Maklumlah 'kawan' kita mesti bercakap betul.

Mungkin sebagai media arus perdana ini bukan satu perkembangan yang baik, namun sesuatu organisasi yang dinamik perlu melihat bagaimana ia boleh kekal di dalam keadaan yang mencabar. Untuk media arus perdana kekal relevan, ia mesti memahami serta mendakap fenomena ini. Begitu juga kerajaan, pemimpin dan ahli politik. Fenomena jalinan media sosial kini sudah lama dikenali oleh pakar pemasaran sebagai satu alat yang amat berguna untuk kerja mereka.

Begitu juga perlulah parti politik dan pemimpin mereka menerima, memahami dan menggunakan media sosial untuk kekal relevan. Satu lagi statistik yang menarik - lebih 80 peratus ahli Facebook pula berumur antara 18 hingga 44 tahun. Jelas jika mahu berinteraksi dengan golongan muda, haruslah pergi di mana mereka berkumpul.

Putra-Design

Isnin, 4 Januari 2010

Burj Dubai dibuka hari ini!

Biarpun diselubungi krisis ekonomi dan hutang, menara tertinggi di dunia, Burj Dubai yang juga monumen terhebat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dibuka kepada orang ramai, esok.

Dibina dengan ketinggian 160 tingkat bersebelahan pantai Teluk Parsi, Burj Dubai mengatasi ketinggian menara Taipei yang setinggi 101 tingkat pada 508 meter, menjadikannya menara tertinggi di dunia dengan ketinggian 818 meter.

Menara itu turut mempunyai 1,000 kediaman, 160 bilik hotel mewah dan 37 tingkat bilik pejabat korporat. Ia direka oleh Adrian Smith, seorang arkitek dari Chicago, Amerika Syarikat (AS). Pembaziran terbaru oleh negara Teluk itu, memecahkan semua rekod sebelum ini dan ia mungkin merupakan penamat kepada satu era yang dimulakan pada 1994, apabila pembinaan kompleks hotel Burj Al Arab dimulakan.

Pada tahun 2000 semasa pembukaan hotel tersebut, Dubai mencatat rekod baru apabila memiliki hotel kedua terbesar di dunia. Kehidupan sosial dan mewah di bandar itu melampaui had ketika pertumbuhan ekonomi 'bersatu' dengan keseronokan peribadi dan nilai tradisi Islam yang semakin merosot, sebahagiannya akibat pengaruh penduduk asing yang tinggal di Dubai.

Bagaimanapun, apabila krisis kewangan global mula melanda, kebanyakan rakyat asing pulang ke negara mereka. Bangunan-bangunan bertukar menjadi 'rumah hantu', menjadikan keseluruhan kawasan kejiranan yang dulunya dianggap simbol kemegahan berubah kepada lambang ketamakan.

Pada 25 November lalu, keadaan sampai ke kemuncaknya apabila konglomerat Dubai World mengumumkan ia perlu membekukan pembayaran balik hutangnya berjumlah AS$59 bilion (RM206.5 bilion). Biarpun dianggap sebagai kemegahan baru bagi bandar raya itu, menara Burj Dubai dijangka memburukkan lagi 'penderitaan' yang ditanggung UAE melalui penambahan satu lagi hartanah dalam pasaran yang sesak.

Di sebalik kehebatan Burj Dubai


Menara adalah kuasa, demikian tulis Judith Dupre dalam bukunya, Skyscrapers yang diterbitkan sepuluh tahun lalu. Ketika buku ini diterbitkan, dua bangunan tertinggi di dunia berada di Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas. Kini selepas sepuluh tahun, Menara Berkembar Petronas berada pada tangga kelima dan esok dengan rasminya sebuah lagi bangunan tertinggi di dunia akan dibuka.

Burj Dubai yang terletak di Dubai menjadi satu mercu tanda keajaiban seni ketukangan serta teknologi pembikinan manusia dalam pembinaan bangunan. Burj Dubai mengulangi tamadun hebat manusia dalam pembinaan di Asia Barat selepas piramid yang muncul sebagai binaan tertinggi empat alaf lalu.


Burj Dubai yang tingginya 818 meter (bayangkan ketinggian bangunan hampir satu kilometer) mempunyai 160 tingkat memecah rekod Taipei 101 yang dirasmikan tahun 2004. Taipei 101 tingginya 509 meter mempunyai 101 tingkat. Benar seperti kata Judith Dupre, menara adalah kuasa. Membina bangunan tinggi menjadi simbol ketinggian tamadun dan kuasa sesuatu bangsa.

Sejak manusia mula membina tamadun, mereka sudah berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi mengatasi yang lain. Lihat saja bagaimana orang Mesir zaman kuno sudah membina pencakar langit lebih 2,000 tahun sebelum Masihi iaitu piramid.

Piramid paling tinggi ialah Cheo setinggi 146.6 meter (481 kaki) di Giza. Orang Greek pula sudah membina Parthenon pada kira-kira tahun 432 Sebelum Masihi. Pada zaman moden bangunan pertama paling tinggi ialah Washington Monument yang didirikan pada 7 Ogos, 1783 bagi memperingati Presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama, George Washington.

Pada dekad pertama alaf baru, bangunan tertinggi yang berada di Asia berpindah ke Asia Barat dan Dubai memang layak untuk menjadi pemilik bangunan tertinggi kerana kekayaan negara Emeriat Arab Bersatu (UAE). Sebelum ini bangunan tertinggi Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur, Malaysia), International Commerce Centre (Hong Kong, China), Shanghai World Financial Centre (Shanghai, China) dan Taipei 101 (Taipei, Taiwan).


Kini Burj Dubai menjadi mercu tanda terbaru penciptaan manusia membangunkan sebuah bangunan yang tingginya hampir satu kilometer. Dengan ketinggian yang "luar biasa" itu, dijangka rekod yang dipegang oleh Burj Dubai tidak mungkin dapat diatasi sekurang-kurang 20 tahun akan datang. Ketinggian yang paling hampir ialah Taipei 101 itu pun hanya 509 meter.

Ini disebabkan oleh faktor krisis ekonomi global khususnya negara-negara maju yang menjadi penghalang untuk membelanjakan berbilion ringgit untuk membina sebuah mercu tanda.
Kerana itu banyak penganalisis ekonomi meramalkan tingginya Burj Dubai mencakar langit dan membelah awan akan menjadi mercu tanda merudumnya Dubai. UAE kini mendepani krisis ekonomi dan hampir tumbang pada akhir November.
Bagaimanapun bernasib baik apabila negara jiran, Abu Dhabi yang juga kaya dengan minyak menyuntik lebih RM38 bilion kepada UAE. Burj Dubai yang boleh dilihat sejauh 100 kilometer kini menjadi mimpi ngeri dan seperti kata pepatah, biar papa asal bergaya. Mata yang memandang memang melihat Burj Dubai sangat bergaya tetapi UAE ligat memikir mencari jalan untuk menjadikan mercu tanda ini sebagai penyumbang kepada ekonomi Dubai.

"Burj Dubai belum mampu menyakinkan pelabur, " demikian ulas Pengarah Bersekutu agensi CB Richard Ellis, Mathhew Green. Dia seterusnya berkata, kadar sewa bangunan komersial turun lebih 55 peratus dari tahun ke tahun. Inilah realiti yang dihadapi oleh Burj Dubai apabila sebahagian besar ruang pejabat dan kediaman untuk disewa masih kosong.
Adakah badi "bangunan tinggi" dengan "keruntuhan ekonomi" yang berlaku sebelum ini terkena pada Burj Dubai seperti yang tercatat dalam The Skycraper Index: Faulty Towers? Buku ini memaparkan hubungkait antara bangunan pencakar langit akan diikuti dengan krisis ekonomi. Misalnya New York Stock Exchange mengalami kejatuhan pada 1907 sebaik saja bangunan pencakar langit Singer Building dan Metropolitan Life Tower didirikan.

Selepas terbinanya Bangunan Empire State diikuti pula oleh krisis ekonomi di Wall Street yang seterusnya mencetuskan Great Depression tahun 1929. Begitu juga setelah siapnya bangunan World Trade Centre (WTC) di New York (yang diletupkan dalam tragedi 11 September 2001) yang dibuka pada 1973 diikuti dengan krisis ekonomi global.
The Skycraper Index: Faulty Towers juga mencatatkan ketika Menara Berkembar Petronas dalam pembinaan krisis ekonomi yang teruk melanda Asia pada 1997. Maka krisis ekonomi apa pula yang akan melanda dunia atau dunia Arab saja selepas Burj Dubai megah berdiri menggapai awan? Adakah krisis ekonomi global yang melanda Amerika Syarikat (AS) sekarang ini menjadi petanda yang dikaitkan dengan Burj Dubai seperti yang dicatatkan dalam The Skycraper Index: Faulty Towers?

Mungkin ada benarnya kalau kita melihat kedudukan ekonomi UAE masa kini menjelang persiapan akhir perasmian Burj Dubai esok. Burj Dubai yang menelan belanja RM67 bilion mempunyai lebih 3,000 unit kediaman, 1,200 ruang untuk membeli belah dan sembilan hotel itu sekaligus menjadi pusat membeli belah terbesar di dunia. Rekod lain yang dipegang oleh Burj Dubai adalah bangunan yang paling banyak tingkat (160 tingkat walaupun jumlah sebenar masih dirahsiakan oleh pemaju Emaar sehingga esok), lif yang paling tinggi dan lif yang paling laju (kelajuan 64km/j)

Reka bentuk Burj Dubai dicetuskan oleh arkitek Skidmore, Owings dan Mervill dan dibina dengan kepakaran syarikat kontraktor dari Korea Selatan, Samsung Engineering & Construction yang juga pernah membangunkan Menara Berkembar Petronas dan Taipei 101. Burj Dubai dibina dengan bahan asasnya konkrit sebanyak 333,000 meter padu konkrit dan 39,000 tan besi.

Samsung Engineering & Construction berkerjasama dengan syarikat kontraktor Besix dari Belgium dan Arabtec dari UAE. Burd Dubai yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk mendepani gegaran gempa tetapi masih tidak selamat daripada serangan pengganas yang mengambil pendekatan serangan 11 September 2001 ke atas WTC.
Sumber Utusan Malaysia

Putra Design