Selasa, 13 Ogos 2013

Agong rasmi pusat penyelidikan UKM di Langkawi.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kanan) bertitah dan merasmikan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Pantai Kok di Langkawi hari ini.

LANGKAWI - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan merasmikan Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM11 juta di Pantai Kok di sini hari ini.

Sempena perasmian pusat tersebut, Seri Paduka Baginda turut mengumumkan nama baharu kampus UKM Langkawi, yang menempatkan PPL, sebagai Kampus Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Baginda kemudian meluangkan masa melawat galeri PPL yang menempatkan pelbagai bahan pameran berkaitan geopark.

PPL, yang dibina di atas tapak seluas satu hektar pada 2009 dan mula beroperasi tahun lepas, dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pelbagai makmal saintifik, bilik seminar, auditorium, galeri dan asrama.

Pusat itu menjalankan penyelidikan inter dan multidisiplin serta mempelopori pendekatan pembangunan lestari untuk ekopelancongan Langkawi.

Pusat itu bukan sahaja untuk kegunaan penyelidikan UKM tetapi membuka ruang kepada penyelidik dalam dan luar negara.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dalam ucapannya berkata, UKM secara rasmi menubuhkan PPL pada 2002 dan beroperasi di sebuah lot kedai di Oriental Village di sini sebelum sebuah bangunan khusus dibina di Pantai Kok.

Menurutnya PPL berperanan membangunkan Geopark pertama di Malaysia dan Asia Tenggara dalam menjalankan penyelidikan sumber asli untuk pelancongan.

"PPL telah memberi tumpuan penyelidikan merangkumi aspek warisan geologi dan landskap, sumber warisan biologi dan marin, warisan budaya dan tradisi setempat serta kesejahteraan alam sekitar," katanya.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang juga Canselor UKM dan Pro Canselor UKM, Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Intan Shafinaz. - Bernama

Putra-Design..